18 Ogo 2009

M3K FT juara Kejohanan Futsal Hari Keputeraan


M3K FT menjulang Piala Pusingan dan Piala Iringan Juara Kejohanan Futsal sempena sambutan perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-63 setelah menewaskan Creativol 7-6 melalui penentuan sepakan penalti.

Dalam perlawanan akhir yang berlangsung semalam di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas itu, Creativol mendahului di minit ke-9 melalui jaringan Khalid Ibrahim.

Menyedari ketinggalan, M3K FT meningkatkan rentak permainan mereka yang nyatanya membuahkan hasil bagi mengekalkan keseimbangan perlawanan melalui sentuhan Mohd Azri Jumat, tiga minit sebelum berakhirnya babak pertama yang berlangsung selama 15 minit itu.

Di babak kedua, kedua-dua pasukan terus berbalas-balas serangan bagi mendapatkan jaringan kemenangan tetapi kedua-dua pasukan hampa di atas kekentalan pihak pertahanan lawan masing-masing menyebabkan jaringan 1-1 kekal sehingga pengadil meniupkan wisel penamat.

Bagi menentukan juara, sepakan penentuan penalti telah diadakan yang nyatanya berpihak kepada M3K FT dengan kemenangan 6-5 bagi menjumlahkan jaringan perlawanan akhir itu kepada 7-6 berpihak kepada M3K FT.

Diumumkan selaku "Pemain Terbaik" perlawanan akhir itu ialah Jersi 4 M3K FT, Syarafuddin Hamdi Haji Talip.

Dalam kejohanan itu, juara membawa pulang Piala Pusingan, Piala Iringan, Pingat Emas dan wang tunai sejumlah $2,000, naib juara pula menerima Piala Iringan, Pingat Perak dan wang tunai sebanyak $1,500, manakala tempat ketiga mendapat Piala Iringan, Pingat Gangsa dan wang tunai sejumlah $1,000.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan